Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menjelaskan kedudukan jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei, dalam Program Podium 2.0 tidak akan terjejas, sebaliknya masih akan cuba memberi bantuan yang diperlukan jaguh perseorangan itu untuk segera kembali ke dalam gelanggang

Chong Wei masih dikekalkan dalam Program Podium 2.0 dan antara prospek yang diletakkan harapan untuk meraih emas pertama dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Biarpun keadaan fizikalnya masih belum cergas sepenuhnya sehingga terpaksa menarik diri daripada dua kejohanan utama -- Seluruh England dan Terbuka Malaysia -- sambil status penyertaannya dalam Piala Sudirman belum diketahui, KBS memberi jaminan kedudukan Chong Wei tidak akan terjejas dalam program baru sukan negara itu.

KBS menerusi Institut Sukan Negara (ISN) akan memberi bantuan yang diperlukan jaguh perseorangan itu untuk mencapai tahap kecergasan yang dimiliki sebelum ini, menjelang kempen kelayakan Sukan Olimpik yang akan bermula Mei ini.

"Podium 2.0 adalah sama seperti sebelum ini tetapi kami memasukkan Program Kita Juara untuk memberikan ruang kepada pelapis muda untuk naik sama seperti atlet-atlet lain," kata Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Dalam masa sama, Syed Saddiq akan membuat perjumpaan semula dengan beberapa persatuan sukan bagi menerangkan penglibatan atlet di bawah naungan mereka dalam Program Podium 2.0.

Ia merujuk kepada aduan beberapa persatuan sukan sebelum ini melalui Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bahawa kebanyakan mereka masih keliru daripada sudut peranan dan pembahagian elaun kepada barisan atlet negara, khususnya sukan yang kurang popular.

"Kami perlu memberikan ruang kepada Chong Wei kerana Kementerian Belia dan Sukan tetap memberikan sokongan kepadanya."