Selagi tiada elemen ketelusan dalam menangani program negara, selagi itu akan terbit kemelut apabila Persatuan Badminton Malaysia (BAM) melaksanakan apa-apa keperluan untuk merombak skuad kebangsaan.

Berdasarkan kriteria yang ditetapkan BAM, hanya gandingan seperti Goh V Shem-Tan Wee Kiong serta Teo Ee Yi-Ong Yew Sin berada dalam zon selamat sebagai gandingan elit.

Sementara pemain seperti Aaron Chia, Soh Woi Yik, Izzudin Rumsani dan Goh Sze Fei berada dalam kelompok bakat masa depan.

Ini bermakna pemain-pemain lain berada dalam zon bahaya untuk menerima notis pengguguran menjelang bulan Ogos ini.

"Sebelum pemain diserap ke dalam BAM, mereka perlu didedahkan dengan sasaran-sasaran serta peraturan yang diperlu dilaksanakan," kata bekas Pengurus Besar BAM, Kenny Goh.

"Jika mereka digugurkan, sekurang-kurangnya terdapat bukti yang menjelaskan tindakan persatuan.

Empat pemain yang digugurkan setakat ini seperti Ameer Zainuddin dan Mohamad Arif Abdul Latif berkongsi pandangan sama, tidak menerima apa-apa maklum balas daripada ketua jurulatih beregu lelaki, Cheah Soon Kit.

"Setiap pemain perlu berusaha untuk mencapai sasaran yang telah ditetapkan," kata Soon Kit.