Pendekatan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk memberi amaran kepada dua pemain senior gara-gara ketirisan penggunaan platform media sosial peribadi mengundang reaksi tersendiri daripada bekas pemain kebangsaan, Datuk James Selvaraj.

Pemain beregu lelaki, Goh V Shem, dan beregu campuran, Goh Soon Huat, diberi peringatan oleh BAM di atas komen yang dibuat mereka ketika menghadapi saingan Sukan Komanwel Gold Coast 2018 yang berakhir dua minggu lalu.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, berkata V Shem dan Soon Huat menjadi pemain pertama diberi amaran ekoran tindakan mereka itu tidak mencerminkan sikap yang baik selaku pemain senior negara.

Menerusi entri masing-masing, Soon Huat menyoal, "Adakah perlawanan pingat gangsa tidak penting?" manakala V Shem pula menyatakan: "Pemain berjuang untuk meraih pingat gangsa tetapi orang-orang kenamaan hilang selepas kami tewas dalam separuh akhir."

"Tugas mereka adalah untuk bermain badminton dan memberikan keputusan yang positif buat Malaysia. Mereka telah dibiayai untuk bermain untuk negara," kata Selvaraj.

"Selepas mereka bersara, pemain-pemain ini diberikan laluan untuk menyertai barisan kejurulatihan. Tugas mereka adalah di atas gelanggang, bukan menyatakan perkara-perkara yang tidak sepatutnya dalam media sosial."

Selvaraj menyokong atlet-atlet negara untuk menggunakan media sosial tetapi memberikan peringatan supaya mengutamakan prestasi ketika beraksi.

"Mereka boleh berkongsi mengenai kehidupan peribadi mereka tetapi perlu berhati-hati dalam platfom ini kerana ia boleh mengundang perkara yang tidak diingini," katanya lagi.