Pendatang baru, Kelab Badminton Kuantan Synergy (KSBC), berada dalam kelas tersendiri apabila meraih gelaran Purple League Junior (PLJ) 2019 dengan rekod bersih sejurus berakhirnya saingan Divisyen 1 di Sports Arena Sentosa, hari ini.

Mendahului seawal pusingan pertama di Sports Arena Falim, Ipoh, kelab bimbingan Azman Amman itu meneruskan dominasi mereka sehingga pusingan ketiga dan terakhir di Sports Arena Sentosa, dengan rentetan kecemerlangan lapan kemenangan berturut-turut.

Kejayaan KSBC menandakan kali kedua berturut-turut gelaran Divisyen 1 dirangkul oleh pasukan yang baru dinaikkan daripada Divisyen Dua selepas juara musim lalu, Kelab Badminton Bukit Cheras (BCBC).

KSBC tidak berdepan masalah menundukkan lawan mereka, Cheras BC 15-2 hari ini, diikuti kejayaan ke atas Bandar Maharani BC 12-8. Perlawanan dengan Bandar Maharani merupakan perlawanan penentuan di mana juara akan menjulang kejuaraan PLJ musim kelima.

“Saya sebenarnya terkedu memandangkan kami adalah pasukan yang baru dinaikkan daripada Divisyen 2 ke Divisyen 1. Pemain Kuantan Synergy bekerjasama sepanjang musim pertama kami dalam Divisyen Satu.

“Kesemua pemain menampilkan semangat luar biasa. Walaupun kami budak baru dalam Divisyen Satu, saya berkata kepada mereka bahawa mereka mampu untuk meraih gelaran Divisyen Satu,” kata Azman ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah.

Kejayaan KSBC membolehkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM40,000 manakala naib juara, Kepong BC, berpuas hati dengan RM20,000.

Sementara itu, Kelab Badminton Ayer Itam (Ayer Itam BC) turut menamatkan rentetan kecemerlangan mereka, tujuh kejayaan berturut-turut untuk meraih gelaran Divisyen Dua.

Kejayaan itu membolehkan mereka menempah tiket automatik ke Divisyen Satu selain hadiah wang tunai RM5,000.

Mengiringi mereka adalah Kelab Badminton Klang Rising yang muncul naib juara. Kelab berpangkalan di Selangor itu turut membawa pulang RM3,000.