Ketua jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak, hanya perlu memikirkan tiga nama sebelum muktamadkan senarai pemain yang akan menjadi tonggak tatkala tiga muka lama sudah pun menjamin tempat dalam Kejohanan Piala Uber di Bangkok, bulan depan.

Gandingan Chow Wei Kuan dan Vivian Hoo tampil memperagakan aksi terbaik sehingga memenangi emas dalam Sukan Komanwel Gold Coast minggu lalu, namun untuk Kejohanan Badminton Asia di Wuhan 24 April depan, Rosman akan menggabungkan kembali Mei Kuan bersama Lee Meng Yean.

Turut sama menyertai adalah Soong Fie Choo dan Tee Jing Yee.

Bagi Rosman, dia ada alasan tersendiri dengan menyifatkan persaingan di pentas Asia adalah berbeza dengan Sukan Komanwel.

"Ia memberi pilihan kepada saya untuk mencari satu lagi pasangan yang baik. Untuk tahun ini, saya perlu mencuba menilai beberapa pasangan, sama ada melihat gandingan sedia ada ini mampu mencabar kelompok 10 terbaik atau tidak," katanya.

Sungguhpun begitu, Rosman tidak menolak akan menggunakan khidmat Mei Kuan dan Vivian bagi Piala Uber memandangkan Woon Khe Wei dikhabarkan masih memerlukan dua bulan untuk pulih daripada kecederaan lutut.

Vivian Hoo, Mei Kuan dan Meng Yean sudah hampir pasti menjadi pemain yang akan menggalas cabaran negara di Bangkok nanti, dan Rosman mengegaskan dia masih perlu menilai baki pemain untuk mengisi tiga lagi kekosongan.

"Tiga pemain senior saya boleh disahkan. Tiga lagi masih lagi agak terbuka kerana, seperti yang saya cakap, ia berdasarkan persembahan semasa berdasarkan taktikal saya untuk melawan pasukan Indonesia.

"Jadi, selepas Malaysia IC (Kejohanan Badminton Cabaran Antarabangsa Malaysia), ia memberi saya gambaran yang lebih jelas," kata Rosman lagi.