Ketua jurulatih badminton perseorangan wanita negara, Datuk Tey Seu Bock, menegaskan mengapa Soniia Cheah dan Goh Jin Wei perlu melakukan pengorbanan besar dalam Piala Uber di Bangkok, bermula Ahad hingga 27 Mei ini.

Berbeza dengan skuad Piala Thomas yang boleh mencuri ruang untuk merehatkan Datuk Lee Chong Wei dalam aksi peringkat kumpulan, Seu Bock berkata tiada istilah sama buat Soniia dan Jin Wei.

"Saya rasa mereka perlu bermain dalam setiap perlawanan," katanya. "Ia kerana dalam perseorangan, kami memerlukan mata dan sudah tentu Soniia dan Jin Wei tiada ruang untuk berehat."

Dalam pada itu, Seu Bock berkongsi pandangan terhadap apa yang akan menjadi pemisah untuk aksi pertama peringkat kumpulan menentang Indonesia pada Isnin ini.

"Bagi saya, peluang untuk perlawanan itu tetap 50-50. Kalau pemain kita menunjukkan prestasi terbaik seperti biasa, saya percaya kita boleh melepasi Indonesia," katanya lagi.