Pemain perseorangan wanita negara, Soniia Cheah Su Ya, menyambut baik keputusan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang mengekalkan format 21 mata dalam tiga set permainan kerana sudah menyesuaikan diri dengan sistem perkiraan itu.

BWF, yang mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) di Bangkok kelmarin, mengekalkan penggunaan format lama selepas cadangan untuk menggunakan 11 mata dalam lima set tidak mendapat sokongan penuh ahli gabungan.

Andai sistem baru itu mendapat sokongan, ia dijangka akan diperkenalkan pada Disember tahun ini selaras dengan permulaan tempoh kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Keputusan itu sekali gus memberi kelegaan buat Soniia kerana dia tidak perlu mengubah corak latihan.

Namun, katanya, sebagai pemain dia perlu bersedia dengan apa sahaja situasi kerana perubahan boleh berlaku pada bila-bila masa.

"Saya fikir, tidak kira mana-mana format, kami perlu menyesuaikan diri dan kami perlu berdepan tidak kira apa sahaja alasan.

"Apabila format itu kekal, ada baik dan buruknya. Kami hanya perlu laluinya," ujarnya.

Soniia mempunyai tanggungjawab yang lebih besar dalam Piala Uber di Bangkok, Thailand apabila diletakkan sebagai perseorangan pertama, dengan Malaysia akan memulakan perlawanan menentang Indonesia petang ini.

Indonesia dijangka membariskan sama ada bekas juara remaja dunia tahun lalu, Fitriani Fitriani, atau Gregoria Mariska untuk perseorangan pertama dan Soniia percaya mempunyai kemampuan untuk bersaing dengan mereka.

"Saya pernah bertemu Fitriani sebelum ini dan juga Gregoria. Saya pernah menang dan kalah kepada mereka, jadi ia adalah perlawanan 50-50.

"Saya rasa kejohanan ini berbeza kerana semangat berpasungan sangat penting, ia berbeza dengan pertandingan individu. Ia berdasarkan pengalaman saya," katanya lagi.