Kecederaan tonggak utama serta peningkatan prestasi gandingan simpanan membuatkan ketua jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak, pening kepala untuk menyenaraikan pemain bagi menghadapi Piala Uber di Bangkok, Thailand, dari 20 hingga 27 Mei ini.

Selepas Woon Khe Wei disahkan tidak mendapat lampu hijau bagi menjadi sebahagian daripada skuad, Rosman terpaksa mencari ikhtiar lain.

Ia kerana gandingan Khe Wei, iaitu Vivian Hoo Kah Mun, kekal sebagai aset penting, malah berupaya memenangi emas Sukan Komanwel Gold Coast bersama pasangan lain, Chow Mei Kuan, walaupun terpaksa membentuk keserasian dalam tempoh singkat.

Untuk kempen kali ini, Malaysia perlu melepasi halangan peringkat kumpulan yang menampilkan juara bertahan, China.

"Saya rasa daripada segi yang positif, banyak pemain muda menunjukkan peningkatan tetapi
seperti saya katakan sebelum ini, sukar untuk memilih yang terbaik bagi menghadapi Piala Uber

"Saya rasa pemilihan untuk Piala Uber adalah berdasarkan taktikal yang akan digunakan di
Bangkok nanti. Setakat ini, Khe Wei hampir pasti tidak akan menyertai kami, jadi akan ada
percampuran dalam pemilihan nanti," katanya.

Setidak-tidaknya, pilihan Rosman untuk membentuk skuad ke Bangkok lebih berkualiti susulan prestasi memberangsangkan yang ditampilkan gandingan Tee Jing Yi-Soong Fei Choo serta pemain serba boleh, Goh Yea Ching.

"Kami harus bekerja keras tetapi saya bernasib baik memiliki pasukan yang begitu komited.
Pemain-pemain menunjukkan reaksi yang bagus terhadap program baru," tambahnya.

Kini, Lee Meng Yean dan Mei Kuan berada di ranking ke-18 dunia, hanya satu anak tangga mengatasi Vivian dan Khe Wei manakala Jing Yi-Fie Choo pula menghuni ranking ke-43.