Piala Uber: Perancis sedia uji kemampuan Malaysia 

Oleh Staff Writer 22 Mei 2018 1262
 Piala Uber: Perancis sedia uji kemampuan Malaysia 
Pemain beregu Perancis, Anne Tran, mendedahkan tidak banyak mengetahui kekuatan pasukan Malaysia, namun memberi jaminan tiada laluan mudah menjelang pertemuan terakhir peringkat kumpulan Piala Uber, esok.

Pertemuan di antara Perancis dan Malaysia mungkin sekadar pelengkap jadual kerana masing-masing sudahpun tidak berpeluang ke suku akhir.

Dengan Malaysia menjadi pilihan, Tran, bagaimanapun, berharap satu tentangan hebat dapat diberikan skuad Perancis walaupun berdasarkan ranking, mereka masih jauh ketinggalan berbanding wakil negara.

"Kami tidak pernah bertemu Malaysia. Kami akan menonton rakaman permainan Malaysia dan membuat persediaan sebaik mungkin. 

"Malaysia mempunyai pemain yang bagus dalam acara perseorangan menerusi Goh Jin Wei. 

"Selain itu, pasangan beregu Malaysia juga handal. Ia pasti aksi sengit dan kami akan berusaha yang sehabis baik," kata Tran. 

Sambil itu, Tran berasakan persiapan Perancis untuk menghadapi kempen kali ini tidak begitu menyeluruh kerana penyertaan mereka hanya disahkan pada saat-saat akhir.

Perancis menggantikan kedudukan Sepanyol yang menarik diri berikutan kecederaan yang menimpa beberapa pemain utamanya.

Begitupun, Tran yakin pengalaman dalam Piala Uber ini dapat membantu dia dan gandingannya, Emile Lefel, untuk cuba melayakkan diri dalam Kejohanan Dunia selepas meraih pingat perak dalam Kejohanan Eropah, bulan lalu. 

"Saya agak gembira bergandingan dengan Lefel. Kami baru meraih pingat perak dalam Kejohanan Eropah baru-baru ini, ia merupakan matlamat utama kami. 

"Piala Uber juga pentas besar, maka kami pasti akan memberikan aksi hebat," ujarnya lagi. 
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen