Keserasian dan kesepakatan yang dibentuk barisan perseorangan Piala Uber akan menjadi elemen penting dalam menghadapi saingan di Bangkok, Thailand bermula Isnin ini.

Soniia Cheah, Goh Jin Wei, Lee Ying Ying dan S. Kisona tidak asing menjalani latihan bersama tetapi beraksi dalam saingan berpasukan memerlukan tuntutan yang berbeza.

Keperluan bersedia menghadapi tekanan tinggi sambil bekerjasama rapat dengan skuad beregu adalah antara elemen persiapan sebelum berangkat ke Bangkok.

Ini yang diperoleh sewaktu pemantapan kem fasa akhir di Akademi Badminton Malaysia bermula 10 Mei lalu dan akan berakhir hari ini.

"Setakat ini, pemain perseorang mempamerkan persembahan cemerlang dalam sesi latihan," kata ketua jurulatih perseorangan wanita, Datuk Tey Seu Bock.

Seu Bock turut memberikan pandangan dalam membuat pilihan bagi mengisi slot pemain perseorangan wanita ketiga skuad Piala Uber ketika Soniia dan Jin Wei sudah pasti memainkan peranan sebagai pilihan utama.

"Kami masih menilai persembahan YingYing dan Kisona, mereka memiliki kualiti yang hampir sama.

"Sekarang, ia terpulang kepada kami untuk menurunkan siapa untuk beraksi nanti," tambahnya.