Pengalaman sulung dalam kempen Piala Uber menghadirkan realiti tersendiri buat pemain beregu wanita negara, Goh Yea Ching, tatkala perseorangan wanita, Goh Jin Wei, masih terkesan dengan kegagalan membantu skuad negara ke suku akhir selepas menyumbang mata tunggal dalam kekalahan 1-4 kepada China di Impact Arena, Bangkok, hari ini.

Ini merupakan kali pertama Jin Wei dapat mengatasi He Bingjiao dalam pertarungan sebenar di peringkat senior.

Dalam Kejohanan Seluruh England Mac lalu, dia mendapat kemenangan percuma selepas lawannya itu menarik diri akibat kecederaan pergelangan tangan.

Sementara itu, pertemuan sulung di antara kedua-dua pemain ini ialah dalam Kejohanan Remaja Asia 2015, juga di Bangkok, dengan ketika itu Bingjiao mengatasi Jin Wei dalam aksi tiga set.

Permainan kemasnya hari ini banyak didorong oleh kekecewaan tidak dapat menyumbangkan mata dalam aksi pertama berdepan Indonesia.

"Saya berasakan Bingjiao (bermain dengan) agak tertekan.

"Saya tidak sepatutnya kalah semalam. Saya berasa sangat bersalah lalu saya turun dengan lebih tenang hari ini.

"Walaupun ranking lawan lebih baik daripada kami, kami tetap berikan aksi terbaik," ujar Jin Wei.

Berbaki satu lagi perlawanan peringkat kumpulan berdepan Perancis esok, Jin Wei belum pasti sama ada dia berpeluang untuk beraksi.

Berdasarkan kepada kekuatan Perancis, jurulatih perseorangan wanita negara, Datuk Tey Seu Bock, dijangka memberi peluang kepada S. Kisona serta Lee Ying Ying untuk membuktikan kemampuan.

"Apapun, kemenangan hari ini sudah terlewat kerana kami gagal ke suku akhir. Ini salah saya.

"Memandangkan semalam dan hari ini saya beraksi, saya tidak pasti sama ada diturunkan atau tidak untuk berdepan Perancis esok.

"Terpulang kepada jurulatih selain faktor strateginya," kata Jin Wei lagi.

Dalam perkembangan sama, selepas dua perlawanan peringkat kumpulan, Yea Ching digandingkan bersama dua pemain berbeza.

Aksi pertama menentang Indonesia, dia bersama Lee Meng Yean tumpas kepada Greysia Polii-Apriyani Rahayu.

Dalam pertarungan bertemu China hari ini, Soong Fie Cho menjadi gandingannya tetapi nasib sekali lagi tidak memihak mereka apabila dikecewakan Chen Qingchen-Jia Yifan.

Tewas kedua-dua aksi berkenaan, bagaimanapun, tidak mematahkan semangat Yea Ching untuk terus meningkatkan lagi corak permainannya.

"Permainan saya hari ini tidak berapa baik. Kemampuan belum sampai tahap itu lagi dan saya mula sedar jurang saya di antara dengan pemain lain.

"Banyak lagi yang perlu diperbaiki," katanya.

Ketika ini, Yea Ching masih belum mempunyai gandingan tetap sejak menyertai skuad kebangsaan empat tahun lalu.

Di sebalik situasi itu, pemain berusia 22 tahun itu meraih beberapa gelaran bersama pasangan yang berbeza, antaranya Kejohanan Satelit Hungary bersama Cheah Yee See dan juga menjuarai Kejohanan Kebangsaan tahun ini bersama Fie Cho.

"Misalnya dari segi kekuatan. Mungkin saya jangkakan lawan akan memberikan usaha 80 peratus, sebaliknya dia datang dengan 120 peratus.

"Persiapan saya tidak cukup. Malah, kualiti bulu tangkis juga tidak berapa bagus," kata Yea Ching lagi.