Jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak, memberi bayangan bahawa tidak mustahil gandingan berbeza akan diturunkan skuad negara dalam pertemuan pembuka tirai menentang Indonesia dalam Piala Uber di Bangkok, Thailand, petang ini.

Ketika ini, bahagian beregu wanita diterajui Vivian Hoo-Goh Yea Ching sambil dibantu Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean dan Soong Fie Cho-Tee Jing Yi.

Selaku pemain senior dalam pasukan, Vivian pernah bergandingan dengan hampir kesemua pemain lain dan dijangka menjadi tunjang utama dalam membimbing bahagian beregu wanita di Bangkok.

Malah, ketika Sukan Komanwel Gold Coast bulan lalu, Vivian dan Mei Kuan cemerlang meraih pingat emas buat kontinjen negara.

"Mungkin ada kejutan. Di pihak kami, kami sudah ada pasangan untuk digandingkan. Kami akan bincangkan lagi secara teliti dengan pihak pengurusan dan ia akan diputuskan," ujar Rosman.

Dalam pada itu, Rosman sekali lagi melaungkan keyakinan bahawa tiada apa yang mustahil apabila pertandingan sebenar bermula nanti.

Jelasnya, setiap pasukan mempunyai peluang andai dapat mempamerkan persembahan terbaik mereka di atas gelanggang dan situasi itu juga pastinya amat diharapkan bahagian beregu wanita negara.

"Seperti yang saya cakap sebelum ini, di atas kertas, ada kelebihan kepada Indonesia. Tetapi beregu wanita akan membuat satu atau dua kejutan. Pemain-pemain sudah diuji dan kelihatan semuanya sudah bersedia," katanya lagi.