Kapten skuad Piala Uber negara, Vivian Hoo, percaya tekanan lebih besar lebih dirasai lawan, iaitu Indonesia, menjelang pertemuan pembuka tirai membabitkan kedua-dua pasukan esok.

Berdasarkan undian, peluang Malaysia untuk mara ke suku akhir amat tipis memandangkan mereka diundi sekumpulan dengan juara bertahan, China, Indonesia dan Perancis.

Bagaimanapun, aksi pertama menentang Indonesia esok bakal menjadi penentu sama ada skuad negara mampu untuk mencipta kejutan ke atas setiap lawan.

Walaupun perbandingan daripada segi pencapaian mungkin tidak memihak skuad negara, Vivian tetap berasa semangat juang yang dipamerkan dia dan rakan sepasukan mampu menggugat keyakinan Indonesia.

"Memang perlawanan bertemu Indonesia merupakan aksi getir buat kami tetapi jika dilihat di atas kertas, ranking mereka lebih tinggi berbanding Malaysia. Jadi, tekanan lebih terarah kepada mereka.

"Kami hanya perlu beraksi baik untuk cuba mendapatkan keputusan yang positif," katanya.

Saingan kali ini menyaksikan Vivian mempunyai gandingan lain susulan kecederaan yang menimpa Woon Khe Wei.

Jika ketika aksi Sukan Komanwel Gold Coast bulan lalu dia bersama Chow Mei Kuan berganding baik untuk meraih pingat emas, saingan di Bangkok menyaksikan dia dijangka berpasangan dengan Goh Yea Ching.

Selain mereka, dua lagi gandingan yang menjadi taruhan ialah Mei Kuan-Lee Meng Yean dan Soong Fie Cho-Tee Jing Yi.

"Saya rasa dalam kejohanan sebelum ini, saya juga pernah bergandingan dengan Jing Yi, Mei Kuan serta Yea Ching. Jadi, ia tidak menjadi masalah besar.

"Apa yang penting, komunikasi diutamakan di dalam gelanggang," ujarnya.