Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria, melihat ada perkara positif di sebalik kekecewaan skuad Piala Uber negara untuk mencapai sasaran mara ke separuh akhir di Impact Arena, Bangkok.

Cabaran skuad Piala Uber negara tersekat di peringkat kumpulan selepas kecundang dua pertemuan menentang Indonesia serta China.

Hanya kemenangan 5-0 ke atas Perancis dalam aksi terakhir hari ini menjadi pengubat kepada kedukaan berkenaan.

Secara keseluruhan, Norza melihat bahagian perseorangan telah melaksanakan tugas dengan baik, khususnya buat Soniia Cheah serta Goh Jin Wei, yang sudah mempunyai pengalaman dalam saingan ini.

Selain dua pemain itu, Lee Ying Ying dan S. Kisona juga mempamerkan persembahan yang cukup baik.

"Saya beranggapan ada aspek positif dari segi prestasi perseorangan wanita. Walaupun berdepan pemain di ranking jauh lebih tinggi, mereka masih mampu memberi prestasi yang sangat baik," kata Norza.

Jika bahagian perseorangan mendapat pujian Norza, lain pula kisahnya untuk bahagian beregu.

Langkah untuk mempelbagaikan gandingan sepanjang saingan Piala Uber kali ini tidak memberikan impak yang besar kepada skuad negara apabila tidak dapat mencuri mata ketika berdepan dua lawan utama, iaitu Indonesia dan China.

"Prestasi yang ditunjukkan beregu wanita agak mengecewakan.

"Saya lihat semacam ada eksperimen di antara pemain-pemain. Mereka harus melihat kepada kombinasi yang lebih kukuh, bukan kepada gandingan bidan terjun," katanya lagi.