Walaupun telah terlepas tiket ke suku akhir, Malaysia menamatkan saingan Kumpulan D Piala Uber 2018 dengan kemenangan selepas menundukkan Perancis 5-0 di Impact Arena, Bangkok, sebentar tadi.

Setelah tewas 3-2 di tangan Indonesia serta 4-1 kepada China sebelum ini, skuad negara bertemu Perancis dengan misi membawa pulang satu kemenangan.

Hasrat itu pantas direalisasikan oleh pemain berusia 18 tahun, Goh Jin Wei, yang mengutip mata pertama menerusi acara perseorangan apabila dengan mudah menundukkan Yaelle Hoyaux 21-7, 21-0 sebelum gandingan Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean mengatasi Emilie Lefel-Anne Tran 21-14, 21-17.

Kemenangan Malaysia disahkan oleh seorang lagi pemain perseorangan, Lee Ying Ying, apabila bangkit daripada kekalahan untuk menewaskan Marie Batomene 15-21, 21-16, 21-11 untuk menjadikan kedudukan 3-0.

Aksi sengit disaksikan dalam perlawanan keempat apabila gandingan Vivian Hoo-Tee Jing Yi dipaksa berhempas-pulas sebelum dapat menundukkan Delphine Delrue-Lea Palermo 21-13, 15-21, 28-26.

S. Kisona melengkapkan kemenangan 5-0 buat Malaysia apabila mengatasi Katia Normand 17-21, 21-14, 21-9 dalam acara perseorangan untuk membolehkan skuad negara menamatkan saingan di tempat ketiga dalam Kumpulan D.



Kredit foto: Facebook Badminton Association of Malaysia - BAM