Kekalahan kepada Indonesia dalam saingan suku akhir Piala Thomas sememangnya amat perit untuk diterima skuad negara, apatah lagi mereka sebenarnya mempunyai kemampuan untuk mengatasi lawan.

Selepas jaguh perseorangan, Datuk Lee Chong Wei, membuka tirai cabaran skuad negara dengan kemenangan, rentak itu gagal diteruskan rakan seperjuangan yang lain.

Paling hampir untuk memperoleh mata sudah pasti gandingan beregu nombor satu negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong.

Selepas berjaya mengheret permainan ke set penentuan, segalanya bagaikan tidak menjadi buat mereka walaupun mereka mempunyai kekuatan seimbang untuk mengejutkan beregu nombor satu dunia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo.

"Memang hari ini, kami bermain lebih bagus berbanding semalam (kelmarin). Semuanya mengikut perancangan tanpa gangguan tetapi dalam set ketiga, ada berlaku kesilapan mudah," kata Wee Kiong.

Kekalahan yang dialami V Shem-Wee Kiong juga memberi kesan buat perseorangan kedua negara, Lee Zii Jia, yang terpaksa akur tumpas tiga set kepada Jonatan Christie.

Ia sekaligus menyandarkan harapan kepada gandingan Aaron Chia-Teo Ee Yi untuk menyelamatkan cabaran skuad negara dalam aksi beregu kedua.

Gandingan ini juga sebenarnya mempunyai kualiti yang sama seperti lawan mereka, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto, tetapi faktor kurang pengalaman menjadi pemisah dan mereka tumpas dalam pertarungan tiga set.

"Saya memang tidak puas hati dengan persembahan saya sendiri. Dalam perlawanan kedua, permainan semakin baik dan keyakinan semakin bertambah.

"Dalam set ketiga, mentaliti sedikit terganggu kerana terlalu mahukan kemenangan," kata Aaron.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria turut berpandangan pengalaman banyak membezakan pemain negara berbanding lawan mereka.

"Ia kerana pengalaman. Kalau kita lihat Zii Jia pergi ke set ketiga, begitu juga dengan Aaron dan Teo. Mereka gagal membina momentum yang diharapkan," katanya.