Piala Thomas: Peluang Malaysia 50-50 bertemu Indonesia

Oleh Staff Writer 24 Mei 2018 819
Piala Thomas: Peluang Malaysia 50-50 bertemu Indonesia
Kegagalan menamatkan saingan peringkat kumpulan sebagai juara menyaksikan Malaysia perlu melepasi halangan pilihan ketiga, Indonesia, dalam suku akhir Piala Thomas di Bangkok, Thailand, malam ini.

Kali terakhir dua seteru itu berentap adalah ketika saingan separuh akhir edisi 2014 dengan menyaksikan Malaysia menang 3-0.

Memandangkan skuad negara kini menamatkan aksi kumpulan malam tadi sebagai naib juara, pertemuan dengan Indonesia itu dianggap sebagai senario yang baik.

"Antara empat juara kumpulan, saya rasa Indonesia tidak begitu kuat. Saya rasa peluang kita menentang Indonesia adalah 50-50.

"Pemain-pemain kami bermotivasi. Kami kalah tipis kepada Denmark yang memberikan kami semangat," kata pengurus pasukan Piala Thomas negara, Datuk Ng Chin Chai.

Dalam masa sama, Chin Chai menyifatkan kekalahan 3-2 di tangan Denmark dalam aksi semalam sebagai sesuatu yang perlu diatasi dengan segera.

Lebih-lebih lagi apabila menyaksikan skuad beregu utama negara yang dibarisi Goh V Shem dan Tan Wee Kiong gagal menyumbangkan mata dalam pertemuan itu.

"Mengikut ranking, beregu utama kami (V Shem-Wee Kiong) berada lebih tinggi daripada dua beregu lawan.

"Sebenarnya, ia tipis. Pemain-pemain kita kebanyakannya boleh menyamai lawan," katanya lagi.


 
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen