Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria, mengambil tanggungjawab penuh di atas kegagalan skuad Piala Thomas negara melepasi saingan suku akhir selepas kecundang 1-3 kepada Indonesia di Impact Arena, Bangkok malam tadi.

Skuad Piala Thomas negara kandas dalam suku akhir, dengan jaguh perseorangan, Datuk Lee Chong Wei, menjadi penyumbang mata tunggal buat Malaysia.

Menerima sepenuhnya kekalahan ini, Norza melihat ia menjadi tanggungjawab buat seluruh pasukan secara kolektif.

Jelasnya, satu analisis terhadap persembahan pemain akan dilakukan sejurus pulang ke tanah air dengan tidak menolak beberapa perubahan kemungkinan akan dilakukan.

Antaranya termasuklah memperkenalkan semula kedudukan pengarah teknikal bagi memantau prestasi jurulatih serta pemain secara lebih menyeluruh.

"Kombinasi pemain lama dan baru ini tidak menjelmakan hasil yang kami inginkan. Kami mengambil tanggungjawab ini sebagai sebuah pasukan. Kami menerima kekalahan ini.

"Kami harus melihat bagaimana kami mahu mencungkil pelapis untuk masa sekarang dan akan datang," katanya.

Di sebalik kekecewaan itu, Norza melihat pengalaman di Bangkok dapat membantu beberapa pemain muda negara, khususnya Lee Zii Jia, Leong Jun Hao serta pemain beregu, Aaron Chia-Teo Ee Yi.

Jelasnya lagi, jika persembahan menentang Denmark dan Indonesia dijadikan ukuran, masih banyak aspek yang boleh ditingkatkan oleh barisan pemain muda ini.

"Mereka berjaya juga sampai ke set ketiga. Saya yakin inilah barisan masa depan kami dan kami berharap mereka terus membina daripada pertandingan ini," katanya lagi.