Misi hidup mati buat skuad Piala Thomas negara bakal menyaksikan Datuk Lee Chong Wei dan skuad Malaysia berjuang bermati-matian menentang seteru, Indonesia, dalam memburu tiket ke separuh akhir di Bangkok, Thailand, malam ini.

Malaysia-Indonesia mempunyai tradisi dalam saingan Piala Thomas dengan pertemuan terakhir adalah dalam pusingan separuh akhir edisi 2014 yang memihak Malaysia.

Bagi Chong Wei, skuad negara langsung tidak memikirkan kemungkinan gagal mencapai sasaran untuk sekurang-kurangnya ke peringkat empat terakhir.

Ia khusus bagi Chong Wei yang disuntik semangat baru selepas menamatkan badi tiga kekalahan berturut-turut menentang pemain nombor satu dunia dari Denmark, Viktor Axelsen, dalam aksi terakhir peringkat kumpulan, semalam.

"Sebelum datang ke sini, semua pemain kita sudah bersedia. BAM (Persatuan Badminton Malaysia) memberikan sasaran untuk sampai ke separuh akhir, jadi kami perlu merealisasikannya.

"Saya berharap prestasi kami lebih bagus dan tiada apa-apa yang perlu dikecewakan. Selepas ini, akan ada pemain muda dan ia bagus untuk perancangan akang datang. Kami akan memberikan segala-galanya," kata Chong Wei.

Sementara itu, skuad beregu memberi jaminan akan bangkit, dengan pandangan itu dizahirkan beregu negara, Aaron Chia dan Teo Ee Yi, yang dibelenggu kekecewaan tidak berupaya menyumbang mata ketika menentang Denmark semalam.

"Kalau kami ambil satu mata, kita sudah menang. Mungkin, kami perlu bincang lagi daripada segi kombinasi kami. Kalau diberi peluang bermain esok (hari ini), kami akan memberikan yang terbaik," kata Ee Yi.

"Memang perlawanan seterusnya adalah lebih sukar daripada aksi sebelumnya. Kami mesti mahu lebih fokus, bincang dengan jurulatih untuk melihat masalah dan berjuang dengan lebih baik lagi," kata Aaron.