Piala Thomas: Malaysia akur kekuatan Denmark

Oleh Staff Writer 24 Mei 2018 1823
Piala Thomas: Malaysia akur kekuatan Denmark
Malaysia begitu hampir untuk mencatat kemenangan menakjubkan ke atas juara bertahan, Denmark, sebelum tewas 3-2 dalam aksi terakhir peringkat kumpulan saingan Piala Thomas 2018 di Impact Arena, Bangkok awal pagi tadi.

Pertemuan pertama yang membabitkan Datuk Lee Chong Wei dan Viktor Axelsen menawarkan seribu harapan buat peminat di tanah air.

Apa yang menarik, Chong Wei berupaya mengawal tempo permainan memandangkan tiga pertemuan terakhir di antara mereka semuanya memihak Axelsen dan dia tampil hebat untuk merekodkan keputusan straight sets 21-9, 21-19.

Beregu pertama, Goh V Shem/Tan Wee Kiong, berada dalam kedudukan terbaik untuk menyumbang mata kedua buat Malaysia tetapi tidak berupaya memanfaatkan kejayaan merampas set pertama apabila kecundang dalam set berikutnya kepada Mads Conrad Peters dan Mads Pieler Kolding 24-22, 15-21, 15-21.

"Saya tidak sangka dapat menang dalam aksi pertama dengan sembilan mata dan saya cuma mahu bermain corak sendiri. Saya juga sedar perlu menang awal untuk mengelakkan diheret ke aksi penentuan," kata Chong Wei.

"Kami beraksi normal tetapi mereka nyata lebih bagus. Walaupun tewas dalam set pertama, lawan bangkit dengan cepat," tambah Wee Kiong.

Perseorangan kedua negara, Lee Zii Jia, wajar diberikan pujian atas aksi luar biasa ketika menentang Haans Kristian Vittinghus sehingga meraih kemenangan 21-18, 21-18 tetapi gandingan beregu kedua, Aaron Chia/Teo Ee Yi, gagal mengesahkan kemenangan Malaysia apabila membiarkan Denmark mengikat kedudukan 2-2 menerusi Mathias Boe/Mathias Christiansen dengan mata 21-19, 10-21, 18-21.

Harapan Malaysia musnah apabila pertaruhan akhir negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, mengikut jejak langkah rakan sepasukannya yang melepaskan kelebihan set pertama sebelum tunduk 21-16, 17-21, 14-21 di tangan Jan O Jorgensen.

"Ada beberapa ketika saya perlu mempercepatkan permainan sewaktu lawan tampak seperti mengalami masalah dan mungkin itu membantu saya. Setakat ini, saya gembira dengan kemenangan yang saya raih," ujar Zii Jia.

"Sebenarnya, perlawanan ini boleh dimenangi tetapi mereka telah jauh mendahului. Kami hanya cuba sehabis baik, masing-masing fokus," kata Ee Yi.

"Saya agak hilang fokus ketika kedudukan 16-16 dalam set kedua, terlalu mahu menang sehingga melakukan kesilapan mudah.

"Dalam set penentuan, lawan sudah mula berkeyakinan tinggi," jelas Iskandar.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen