Bekas pemain kebangsaan, Lee Wan Wah, tidak melihat kekurangan pengalaman dalam bahagian beregu lelaki sebagai kelemahan buat skuad negara bagi menghadapi Piala Thomas di Bangkok, Thailand, bermula Ahad ini.

Piala Thomas kali ini menyaksikan hanya satu beregu berpengalaman menjadi sandaran, iaitu pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong.

Sementara itu, gandingan muda, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, yang berada di ranking ke-67 dunia, turut menjadi pilihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), di samping Teo Ee Yi yang dijangka digandingkan bersama Mohamad Arif Abdul Latif.

Daripada segi pengalaman, nyata sukar untuk membandingkan mereka kerana Aaron-Wooi Yik hanya bergandingan semula tahun ini manakala Arif tidak pernah beraksi dalam acara beregu dalam kejohanan utama.

"Kalau jurulatih sudah pilih mereka, saya fikir mereka ada kelebihan. Saya belum melihat Arif dan Ee Yi bermain tetapi pasangan simpanan itu saya nampak boleh pergi jauh," katanya.

Dalam pada itu, Wan Wah turut mengharapkan V Shem-Wee Kiong agar tidak mudah hilang fokus bagi memastikan salah satu mata menjadi milik skuad negara.

Ini merupakan kempen Piala Thomas ketiga berturut-turut buat gandingan itu selepas edisi 2014 di New Delhi, India dan dua tahun lalu di Kunshan, China.

"Mereka sekarang semakin baik. Mereka dipisahkan selepas Sukan Olimpik dan apabila kembali digandingkan bersama, sudah tentu mereka memerlukan masa untuk berkembang.

"Pada masa sekarang, mereka bermain sangat baik. Cuma, apa yang saya lihat, mereka perlu banyak berkomunikasi di dalam gelanggang. Kalau boleh selesaikan perkara itu, ia sudah baik dan mereka mempunyai cukup potensi," katanya lagi.