Soong Joo Vern tiada penyesalan apabila sudah melakukan apa yang terdaya untuk menambat hati barisan kejurulatihan negara tatkala perebutan slot dalam skuad Piala Thomas semakin hangat.

Ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek, dijangka memperincikan senarai akhir skuad dalam tempoh beberapa hari lagi bagi memastikan kelayakan ke Piala Thomas menerusi Kejohanan Berpasukan Asia.

Kalau ada sebarang kepastian, hanya nama Datuk Lee Chong Wei sudah terjamin untuk berada di Alor Setar, Kedah, bagi kempen pada Februari itu nanti.

Difahamkan, perebutan tempat ketika ini membabitkan Joo Vern, Lee Zii Jia, Iskandar Zulkarnain Zainuddin dan Leong Jun Hao.

"Saya tidak akan terlalu kecewa sekiranya tidak terpilih.

"Lagipun, ini adalah kejohanan berpasukan, sudah pasti jurulatih akan menurunkan barisan terbaik dan pemain paling sesuai.

"Jurulatih akan membuat pilihan dan saya harap dapat terpilih selepas memberikan komitmen terbaik dalam latihan," ujarnya.

Joo Vern juga sedar dalam perebutan tugas berpasukan, dia perlu memberikan tumpuan kepada pencapaian peribadinya.

Antara aspirasinya pada 2018 adalah untuk berada dalam kelompok 32 terbaik dunia bagi memudahkan penyertaannya dalam kejohanan utama tahap dua kalendar Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

"Saya menyasarkan untuk berada dalam kalangan 32 terbaik dunia untuk membuka laluan kepada saya beraksi dalam banyak kejohanan bertaraf Siri Super. Saya harap dapat merealisasikannya," katanya lagi.