Piala Thomas jadi medan Zii Jia bangkit

Oleh Staff Writer 9 Mei 2018 2494
Piala Thomas jadi medan Zii Jia bangkit
Pemain badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, berharap agar kempen Piala Thomas di Bangkok, Thailand bulan ini dapat menyemarakkan semula kebangkitan prestasinya susulan beberapa aksi yang kurang meyakinkan sebelum ini.

Saingan di Bangkok bakal menyaksikan Zii Jia diberikan tanggungjawab sebagai perseorangan kedua negara.

Bagaimanapun, berdasarkan aksi kebelakangan ini, timbul persoalan sama ada dia dapat mencari semula rentak kebangkitan setelah tersingkir dalam pusingan pertama Terbuka Switzerland pada Februari lalu serta disekat pemain tidak ternama dari China, Li Shifeng, dalam saingan Masters China bulan lalu sehingga memberi kesan buat pemain berusia 20 tahun itu.

Malah, dia turut menyaksikan ranking dunianya merosot dan dipintas oleh Iskandar Zulkarnain Zainuddin yang menewaskannya dalam Kejohanan Kebangsaan awal bulan lalu.

"Sebelum Piala Thomas, jurulatih mengurangkan jumlah pertandingan untuk saya. Dalam masa tiga bulan, saya yakin mentaliti dalam diri saya sudah meningkat. Kini, mungkin saya akan menumpukan perhatian kepada sentuhan ketika permainan," kata Zii Jia.

Saingan Piala Thomas kali ini menyaksikan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menampilkan gandingan dua pemain senior serta dua pemain muda untuk membawa cabaran dalam acara perseorangan.

Zii Jia semestinya menjadi antara taruhan untuk memperoleh mata dan berdasarkan aksinya dalam Kejohanan Berpasukan Asia tempoh hari, keyakinan buat anak kelahiran Alor Setar itu tetap tinggi dan menjadi aset berharga buat skuad negara.

"Bukan setakat perseorangan pertama tetapi pemain kedua dan ketiga Malaysia juga dilihat bukan pilihan, jadi dalam situasi sebegitu membuatkan kami lebih selesa tanpa sebarang tekanan. Ia menjadi bonus buat kami," tambahnya.

Sementara itu, jurulatih skuad beregu wanita negara, Rosman Razak, menaruh kepercayaan terhadap gandingan yang membawa cabaran Malaysia dalam saingan Piala Uber.

Walaupun mengalami beberapa perubahan gandingan, khususnya kecederaan yang menimpa Woon Khe Wei, Rosman berpendapat setiap pemain yang diturunkan dapat memberikan saingan.

Cabaran amat sukar buat skuad Piala Uber negara kerana ditempatkan sekumpulan dengan China, Indonesia dan Perancis tatkala hanya dua pasukan terbaik akan mara ke suku akhir, sekali gus mengharapkan gandingan Vivian Hoo-Goh Yea Ching, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean dan Soong Fie Cho-Tee Jing Yi dapat menyinar.

"Apa yang paling menarik adalah perkembangan pemain-pemain muda untuk beregu wanita. Saya rasa mereka mempunyai visi yang bagus dan sangat bertenaga untuk terus meningkat. 

"Ia juga memberi tekanan buat pemain senior dan saya berpendapat ia sesuatu yang positif dalam pasukan. Masing-masing boleh bersaing sesama sendiri," ujar Rosman.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen