Pemain perseorangan negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, akan lebih mengenang tarikh 24 Mei bukan sahaja sebagai ulang tahun kelahirannya tetapi tarikh dia hanya mampu menyaksikan skuad negara tersingkir daripada saingan Piala Thomas 2018 di Impact Arena, Bangkok, semalam.

Sewaktu beregu kedua negara, Aaron Chia dan Teo Ee Yi sedang berjuang untuk menyamakan kedudukan, Iskandar sedang memanaskan badan.

Sukar untuk membayangkan apa yang bermain di fikiran Iskandar apabila tidak berupaya untuk turun ke gelanggang dan memainkan peranan sebagai penyelamat negara.

"Saya rasa terkilan sebab semalam (kelmarin) saya juga tewas. Sebenarnya saya mahu tebus hari ini (semalam), dengan pasukan ini sudah melakukan yang terbaik, termasuk pemain-pemain muda. Ini adalah pasukan sempurna berbanding skuad sebelum ini.

"Hari ini (semalam) adalah hari jadi saya dan saya mengharapkan hadiah tetapi memandangkan pasukan kita sudah kalah, ia menyedihkan untuk hari jadi kali ini," kata Iskandar.