MALAYSIA 2 DENMARK 3

Hasrat Malaysia untuk meneruskan momentum kemenangan dalam Kumpulan D, Piala Thomas 2018 tidak kesampaian apabila dijinakkan juara bertahan, Denmark, 3-2 di Impact Arena, Bangkok sebentar tadi dengan kedua-dua pasukan sudah pun mengesahkan laluan ke suku akhir.


Malaysia memulakan aksi dengan langkah kanan menerusi jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei, yang berdepan Viktor Axelsen.

Tiga pertemuan terakhir mereka, Chong Wei kecundang kesemuanya dengan straight set bermula 2016 hingga 2017. Itulah yang mengangkat Chong Wei untuk tampil cemerlang kali ini berbekalkan aura dendam bersulam semangat juang untuk menang.

Tidak seperti skrip edisi 2016, Chong Wei mudah menundukkan Axelsen selaku pemain nombor satu dunia dalam set pertama 21-9, begitpun bara perlawanan menyala semula dalam set kedua.

Pemain utama Denmark itu bangkit mengasak, namun akhirnya kecundang 19-21.

"Penting untuk pasukan mendapatkan mata sulung dan saya sering berpesan kepada diri sendiri bahawa saya melakukannya agar dapat mencetuskan keyakinan rakan-rakan sepasukan.

"Saya tidak menyangka hanya membenarkan Axelsen memungut sembilan mata sahaja dalam set pertama. Saya hanya berharap perancangan awal dapat dilaksanakan dan meneruskannya sepanjang permainan," kata Chong Wei.

Sangkaan panas berpanjangan rupanya mendung dalam acara beregu apabila pasangan negara, Tan Wee Kiong-Goh V Shem kecundang tetapi aksi getir dalam set pertama menyaksikan pasangan negara menang 24-22 ke atas Mads Conrad Petterson-Mads Pieler Kolding.

Bagaimanapun, Wee Kiong-V Shem seolah-olah terpaku dan longlai dalam set kedua apabila tewas mudah 15-21.

Kesannya jelas berpanjangan apabila Wee Kiong-V Shem tertunduk lesu dalam set penentuan apabila tewas dengan mata yang sama, sekali gus membenarkan Denmark mengikat kedudukan 1-1.

"Kami bermain seperti biasa pada hari ini, cuma pihak lawan bermain lebih bagus daripada kami.

"Walaupun mereka kalah dalam set pertama, namun bertindak pantas dalam dua set berikutnya sehingga mengucar-ngacirkan permainan kami," kata Wee Kiong.

Tonggak muda negara, Lee Zii Jia, kembali menceriakan kem Malaysia dengan mengejutkan pemain di ranking ke-25 dunia, Hans-Kristian Solberg Vittinghus.

Meskipun dibayangi ketangkasan lawan, Zii Jia mula garang mengatur asakan untuk mengimbangi kedudukan pada mata ke-18 sebelum menang 21-18.

Percubaan Vittinghus untuk bangkit tampak positif pada set kedua apabila selesa memimpin permainan 18-12. Namun, semangat kental Zii Jia memastikan dia mengutip mata demi mata, seterusnya menang 21-18 untuk Malaysia mendahului 2-1.

"Saya hanya ingin menikmati permainan ini. Kami masing-masing banyak melakukan kesilapan tetapi saya bertahan dalam keadaan itu.

"Mungkin pada penghujung permainan, saya lebih pantas dan dia kelihatan tidak menyangka.

"Saya berasakan mungkin itu kelebihan saya," kata Zii Jia.

Harapan untuk melihat Malaysia memuktamadkan kemenangan menerusi Aaron Chia-Teo Ee Yi meleset apabila kecundang 19-21, 21-10, 21-18 kepada Mathias Boe-Mathias Christiansen.

Situasi itu secara tidak langsung menjadikan tumpuan terarah kepada Iskandar Zulkarnain Zainuddin sebagai penentu kemenangan ketika berdepan Jan O Jorgensen.

Kelebihan memihak Iskandar menerusi kemenangan 21-16 dalam set pertama menerusi kawalan gelanggang menarik, bagaimanapun gagal diteruskan apabila hilang cengkaman pada pertengahan set kedua apabila tumbang 17-21.

Jorgensen, 30, beroleh keyakinan manakala Iskandar acap kali terperangkap dengan beberapa gerakan mengelirukan di depan jaring untuk memerangkap lawannya dengan kemenangan 21-14.