Piala Thomas 2018: Chong Wei sandaran utama -- Rashid

Oleh Staff Writer 17 Mei 2018 1248
Piala Thomas 2018: Chong Wei sandaran utama -- Rashid
"(Datuk Lee) Chong Wei tidak boleh tumpas." Itu pandangan bekas pemain negara, Rashid Sidek, yang berasakan skuad Piala Thomas negara wajib memperoleh mata menerusi jaguh perseorangan itu. 

Saingan Piala Thomas kali ini menyaksikan kombinasi baru serta berpengalaman menjadi taruhan buat bahagian perseorangan negara.

Diterajui Chong Wei serta Iskandar Zulkarnain Zainuddin sebagai senior dalam pasukan, mereka dibantu dua tenaga muda, Lee Zii Jia dan Leong Jun Hao.

"Kalau berjumpa dengan pasukan yang tidak berapa kuat, Chong Wei tidak diturunkan pun tidak apa. 

"Namun, jika diturunkan, dia tidak boleh kalah. Kalau tidak, kekuatan kita akan terjejas teruk. 

"Kita memerlukan mata daripada Chong Wei," ujar Rashid. 

Separuh akhir menjadi sasaran skuad Piala Thomas negara bagi menyamai pencapaian dua tahun lalu di Kunshan, China, yang menyaksikan Malaysia tumpas kepada Denmark di peringkat yang sama.

Rashid menganggap sasaran itu bersesuaian berdasarkan kemampuan yang dimiliki skuad negara.

"Berdasarkan kekuatan pasukan, sasaran ke separuh akhir adalah sesuai. 

"Tidak mustahil Malaysia akan mara ke final ataupun menjadi juara.

"Yang penting, ada perancangan mengenai fokus pasukan dan pemain," kata Rashid yang ditemui dalam majlis tajaan jenama barangan badminton, Fleet, kepada skuad Piala Uber Mauritius di ibu negara, semalam. 

Skuad Mauritius itu mendapat sentuhan Malaysia apabila melantik bekas pemain kebangsaan, K. Yogendran, sebagai ketua jurulatih.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen