Sepanjang saingan Piala Thomas 2018 di Bangkok, Thailand, skuad perseorangan lelaki memikul bebanan luar biasa untuk menghadirkan mata buat Malaysia.

Ia satu senario yang menyaksikan skuad negara tersingkir di peringkat suku akhir tatkala prestasi pasukan beregu menjadi tanda tanya sehingga mengakibatkan Malaysia tewas 1-3 di tangan Indonesia, malam tadi.

Jika ada pemain yang terkecuali daripada sebarang kritikan, individu itu adalah Datuk Lee Chong Wei kerana pada usia yang boleh dianggap sebagai seorang veteran, pemain nombor satu negara itu tetap memastikan mata pertama milik Malaysia apabila menewaskan Anthony Ginting 21-19, 21-16.

"Ini merupakan kali kedua saya bertemu Anthony selepas kali pertama sewaktu Kejohanan Badminton Asia (ABC). Ketika itu, kami beraksi dalam set penentuan tetapi kali ini saya dapat menamatkannya menerusi straight sets.

"Anda boleh lihat kudratnya sebagai pemain muda berbanding saya yang sudah senior. Kepantasannya lebih laju. Apa yang boleh saya lakukan adalah memberikannya situasi bola sukar," kata Chong Wei.

Beban yang dimaksudkan itu jatuh di bahu Lee Zii Jia ketika kedudukan terikat 1-1.

Walaupun bertemu pemain yang sudah berada dalam kematangan tersendiri, Jonatan Christie, Zee Jia tetap memberikan tentangan.

Selepas tewas set pertama 21-15, dia bangkit untuk merampas set berikutnya 21-11, namun akhirnya kecundang ketika set penentuan 21-13.

"Saya rasa banyak kesilapan dilakukan dalam set pertama. Mungkin juga kerana tekanan. Untuk set kedua, saya hanya mencuba dan mendapatkan mata perlahan-lahan sehingga lawan tampak tertekan.

"Apabila memasuki set penentuan, keadaan fizikal saya sudah lemah, begitu juga mental dan fokus yang telah hilang, sekaligus memberikannya kelebihan," ujar Zee Jia.

Sementara itu, pengurus pasukan skuad Piala Thomas negara, Datuk Ng Chin Chai, berpendapat pemain negara harus menelan kepahitan tersingkir di sukur akhir, sekali gus gagal mencapai sasaran meletakkan diri dalam kelompok empat pasukan terbaik.

"Kami tewas di tangan pasukan yang lebih baik. Tahap yang kami pamerkan sekadar cukup untuk berada dalam suku akhir. Jadi, terdapat empat pasukan lebih baik berbanding kami.

"Lebih cepat kami menerima kekalahan ini, semakin mudah untuk kita meneruskan cabaran. Jadi, kami harus pulang dan mengkaji semula apa yang dilakukan dalam dua tahun terakhir. Mungkin selepas ini perlu fokus kepada pemain muda.

"Bukan sekadar dua tetapi mungkin Malaysia memerlukan empat atau enam tahun untuk kembali disegani di pentas Piala Thomas," ujar Chin Chai.