Perseorangan wanita negara, Soniia Cheah, sedia menggalas cabaran untuk berentap dengan bintang handalan Jepun seandainya rakan sepasukannya, Goh Jin Wei, tidak dapat diturunkan menjelang suku akhir Piala Sudirman di Nanning, China, esok.

Ketua jurulatih perseorangan wanita, Datuk Tey Seu Bock, sedang giat untuk mempersiapkan Soniia selepas Jin Wei mengadu mengalami ketidakselesaan di perut.

Soniia, yang juga pemain di ranking ke-34 dunia, mengakui terdapat jurang ketara di antara dirinya dan wakil perseorangan Jepun seperti juara dunia 2017, Nozomi Okuhara, dan pemain nombor 4 dunia, Akane Yamaguchi.

Bagaimanapun, Soniia tidak rela dirinya tunduk dengan kekuatan di atas kertas lawan sambil bersedia untuk mengulangi aksi cemerlangnya ketika memaksa perseorangan China, Chen Yufei, untuk beraksi sehingga ke set penentuan dalam perlawanan pembukaan.

"Kita tidak boleh membandingkan di antara saya dan Jin Wei kerana lawan yang dihadapi adalah berbeza.

"Jin Wei telah memberikan yang terbaik untuk pasukan.

"Walaupun dia tewas, ia tidak mengapa kerana menang atau kalah itu merupakan sebahagian daripada pertandingan," katanya.

Soniia hanya tewas sekali sepanjang bertemu Yamaguchi, namun dia mempunyai rekod buruk ketika berdepan Okuhara.

Berdasarkan lima pertemuan terdahulu, Soniia tumpas kesemuanya.

"Benar, ia merupakan aksi terbaik daripada saya, namun ia merupakan aksi biasa yang sepatutnya saya berikan.

"Apa yang boleh saya katakan adalah ia meningkatkan keyakinan saya dan saya berharap jika saya diturunkan, saya dapat mencuba yang terbaik untuk menyumbangkan mata buat pasukan," tambahnya.