India mengidam untuk memalukan Malaysia dalam pertemuan Kumpulan 1D, Piala Sudirman 2019 tatkala skuad badminton negara pula akan mempertaruhkan kekuatan bahagian beregu sebagai senjata utama untuk mendapatkan kemenangan, sekali gus menempah slot ke suku akhir.

Berbanding skuad perseorangan lelaki dan wanita, Malaysia boleh meletakkan sandaran kepada bahagian beregu lelaki dan campuran manakala beregu wanita juga dilihat mempunyai kelebihan daripada sudut ranking.

Apatah lagi, mereka tidak mahu mimpi ngeri dalam final acara berpasukan Sukan Komanwel Gold Coast 2018 berulang yang mungkin mengakibatkan mereka sekali lagi menggigit jari di Nanning, China, esok, untuk terlepas peluang mara ke peringkat seterusnya.

Setakat ini, hanya beregu muda lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, yang boleh dikatakan akan tersenarai menentang India berdasarkan prestasi cemerlang mereka ketika bersaing dengan juara dunia, Li Jun Hui-Liu Yuchen, semalam.

"Kami semakin mendapat rentak permainan, cuma kami perlu berbincang lagi untuk pertemuan dengan India," kata Aaron.

Rakan gandingannya, Wooi Yik, turut berjanji untuk bangkit dengan berkata: "Walaupun tidak pasti siapa yang akan diturunkan lagi untuk berdepan India, tetapi tidak kira siapa pun (yang akan dipertaruhkan), kami pasti akan memberikan yang terbaik."

Skuad Malaysia juga tidak terkesan dengan kekalahan 0-5 kepada China, semalam, sambil mengakui kredibiliti yang dimilki tuan rumah itu, namun percaya mereka mampu bangkit ketika bertemu India.

"Saya semakin yakin dengan kemampuan pasukan Malaysia kerana barisan pemain negara sudah bersedia untuk berjuang.

"Saya percaya pemain Malaysia akan mencurahkan segala kudrat untuk meraih kemenangan ke atas India," kata pemain beregu campuran, Lai Pei Jing.