Piala Sudirman: Senarai pemain muda beri lebih manfaat

Oleh Staff Writer 26 April 2019 423
Piala Sudirman: Senarai pemain muda beri lebih manfaat
Keputusan untuk mengetepikan pemain profesional daripada menyertai skuad Piala Sudirman sesuatu yang sukar tetapi ia diperlukan demi masa depan sukan badminton negara.

Dalam ketiadaan Datuk Lee Chong Wei, pemilihan pemain beregu lelaki dan campuran kekal memihak pemain di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menjelang kejohanan di Nanning, China itu, 19 Mei ini.

Keputusan itu dilakukan walaupun beregu lelaki profesional, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, dan beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, masih kekal sebagai gandingan nombor 1 negara berdasarkan ranking masing-masing.

Bagaimanapun, Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann, berpandangan penyenaraian pemain muda berbanding dua pasangan yang pernah beraksi dalam Sukan Olimpik Rio 2016 itu akan memberikan lebih manfaat buat badminton Malaysia.

Malaysia juga perlu memikirkan tentang pembentukan skuad ampuh dalam Piala Thomas dan Uber di Denmark, tahun depan.

"Ia sentiasa keputusan yang sukar untuk dilakukan kerana kami tidak mempunyai banyak tempat untuk mereka dan kami perlu melihat kepada cara untuk melangkah lebih ke depan.

"Kita bukanlah pencabar kejuaraan, itulah situasi jujur yang boleh diperkatakan.

"Disebabkan itu, kami melakukan pemilihan pemain bukan berdasarkan pengalaman tetapi kemampuan mereka untuk menjalankan tugas.

"Kami telah menetapkan tugasan untuk mereka di mana mereka perlu memenangi beberapa perlawanan yang ditetapkan.

"Ia bukan seperti meletakkan sasaran untuk memenangi pingat emas Sukan Olimpik atau meraih kejuaraan Piala Thomas dan Uber.

"Sasaran itu terlalu besar buat masa ini," katanya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen