Malaysia memiliki peluang untuk menebus kekalahan 3-2 di tangan Jepun dalam saingan Piala Sudirman selepas diundi untuk bertemu mereka semula dalam pusingan suku akhir yang berlangsung pada Jumaat.

Dalam saingan yang berlangsung di Gold Coast, Australia, skuad badminton negara tewas 3-2 kepada Jepun dalam saingan merebut gelaran juara Kumpulan C.

Setelah semua perlawanan berakhir, undian telah dilakukan dan Malaysia akan sekali lagi bertemu Jepun manakala China berdepan cabaran mudah bertemu India.

Dua lagi saingan suku akhir menyaksikan Denmark menentang Thailand dan Taiwan bertemu Korea Selatan.

Pengarah Teknikal, Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost, berharap skuad negara melupakan keputusan perlawanan ini dan membuat persiapan bagi menghadapi aksi akan datang.

"Dua tahun lalu, kami bertemu Korea dalam saingan kumpulan dan suku akhir dan kali ini berlaku sekali lagi dan lawan kami adalah Jepun.

"Kami tidak boleh mengubah keputusan perlawanan malam ini, mana-mana pasukan boleh memenangi perlawanan ini dan kami berharap dapat memperbaiki permainan pada Jumaat ini," kata Frost.