Ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek, berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan Lee Zii Jia dalam Kejohanan Badminton Piala Sudirman walaupun pemain muda itu memikul tanggungjawab sebagai pengganti kepada Datuk Lee Chong Wei.

Dalam aksi pembukaan ketika menentang China, Zii Jia tewas 12-21, 11-21 kepada pemain di ranking kedua dunia, Shi Yuqi.

Bagaimanapun, ia tidak memadamkan semangat pemain kelahiran Alor Setar itu untuk bangkit membenam perseorangan di ranking ke-13 dari India, Sameer Verma, dalam perlawanan kedua.

Dalam aksi suku akhir pula, Zii Jia memaparkan semangat juang tinggi sebelum tewas 18-21, 16-21 kepada pemain nombor satu dunia, Kento Momota, yang mewakili Jepun.

"Kalau ikut keseluruhan prestasi Lee Zii Jia, saya buat masa ini boleh berpuas hati kerana saya perlu menyediakannya sebagai tonggak nombor satu negara.

"Maka, ia perlu lebih teliti dan kami memerlukan masa untuk menjadikan dia lebih stabil," katanya.