Skuad badminton Malaysia memerlukan keajaiban untuk menjinakkan gergasi dunia, Jepun, dalam usaha mara ke kelompok empat terbaik apabila undian menemukan kedua-duanya dalam suku akhir Piala Sudirman 2019.

Ia merupakan ulangan pertembungan suku akhir edisi 2017 di Gold Coast, Australia di mana skuad negara tumbang 1-3 dengan mata tunggal disumbangkan perseorangan utama, Datuk Lee Chong Wei.

Biarpun di atas kertas Malaysia bukanlah tandingan Jepun, namun beberapa pemain mempunyai rekod baik menentang wakil Negara Matahari Terbit itu, antaranya Tan Kian Meng-Lai Pei Jing pernah dua kali menumbangkan juara Seluruh England, Yuta Watanabe dan Arisa Higashino.

Selain itu, barisan pemain beregu lelaki ditunjangi Aaron Chia juga konsisten pernah memberikan tentangan kepada beregu utama Jepun, Keigo Sonoda-Takehsi Kamura, dalam Terbuka New Zealand bulan lalu.

Baki tiga lagi acara membabitkan perseorangan lelaki, wanita dan beregu wanita menyaksikan Malaysia masih lagi mencongak strategi untuk mengatasi lawan.

"Kami akan membuat pertimbangan berdasarkan rekod perlawanan dalam kalangan pemain-pemain negara dan Jepun. Prestasi mereka juga akan dinilai sebelum menghadapi perlawanan seterusnya," kata Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann.

Baginya, Malaysia yang akan turun sebagai pasukan 'underdog', tidak mempunyai tekanan tinggi berbanding lawan yang meletak sasaran tinggi untuk menjadi juara buat kali pertama.

"Kami enggan berpuas hati setakat ini tetapi skuad negara telah mula memberikan kejutan. Saya berharap pemain-pemain tidak berputus asa kerana terpaksa berdepan lawan yang sukar seperti Jepun."

Berbanding Jeremy Gan yang sudah pun satu setengah tahun menyertai skuad badminton Jepun, Tan Kim Her pula baru sahaja sebulan bersama.

Kedua-dua bekas jurulatih Malaysia itu sudah masak dengan kekuatan skuad negara dan mengakui mereka mempunyai kelebihan untuk mengatasi Malaysia.

Apatah lagi Jepun mempunyai pemain yang berada dalam kelompok tiga terbaik dunia dalam kesemua lima acara.

"Setakat ini, tiada jaminan untuk kami mengatasi Malaysia. Di atas kertas, benar Jepun memiliki kelebihan tetapi kami mengambil langkah berwaspada untuk aksi seterusnya," kata Kim Her.

Daripada 14 edisi Piala Sudirman sejak tahun 1989, hanya tiga negara pernah menjulang kejuaraan, dengan China sebanyak 10 kali, Korea Selatan tiga kali dan Indonesia sekali.

Percubaan terbaik Jepun ialah dalam edisi 2015 di Dongguan, China, namun pulang sebagai naib juara apabila tumpas kepada tuan rumah dengan keputusan 3-0.

Selepas empat tahun, Jepun hadir sekali lagi bersama pasukan lebih kuat dengan reputasi sebagai pilihan kedua kejohanan, justeru mereka sudah bersedia untuk membawa piala pulang ke Jepun buat kali pertama dalam sejarah badminton.

"Bukan sahaja Jepun, setiap pasukan berusaha untuk menjuarai Piala Sudirman. Ia merupakan impian serta sasaran Jepun untuk muncul juara edisi kali ini."