MALAYSIA 3 INDIA 2

Malaysia tertekan sehingga saat terakhir sebelum menewaskan India 3-2 dalam aksi kedua Kumpulan 1D, Piala Sudirman, sebentar tadi.


Selepas tewas mudah 0-5 kepada tuan rumah, China, di Nanning dalam aksi pertama, kelmarin, pasukan Malaysia wajib menewaskan India untuk menghidupkan peluang layak ke suku akhir.

India yang mengecewakan Malaysia dalam penentuan juara acara berpasukan campuran dalam Sukan Komanwel Gold Coast, tahun lalu, mengutip mata pertama setelah Goh Soon Huat-Shevon Lai yang memberikan saingan sengit, tewas 21-16, 17-21, 22-24 kepada Satwiksairaj Rankireddy-Ashwini Ponnappa.

Kem negara lega apabila Lee Zii Jia menang dalam perseorangan lelaki apabila menewaskan Sameer Verma dalam aksi dua set.

Selepas itu, Goh Jin Wei yang dibelenggu masalah kesihatan baru-baru ini, turun ke gelanggang, namun seterunya yang di ranking kelima dunia, PV Sindhu, terlalu hebat untuk India mendahului 2-1.

Dalam aksi keempat, Aaron Chia yang sinonim bergandingan dengan Soh Wooi Yik, tewas kepada China, kali ini digandingkan dengan Teo Ee Yi untuk mengalahkan Attri Manu-Reddy Sumeeth 22-20, 21-19.

Di kedudukan 2-2, ini bermakna beregu wanita, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean, menjadi sandaran utama buat Malaysia untuk mara ke suku akhir dan mereka beraksi cukup baik biarpun dalam tekanan untuk menundukkan Ashwini Ponnapa-N. Sikki Reddy 21-11, 21-19 untuk Malaysia membenam India 3-2.

"Saya berasa sangat kecewa dan saya ingin memohon maaf kepada peminat, pasukan dan penyokong Malaysia," kata Soon Huat.

Dalam masa sama, Mei Kuan lega kerana menghadiahkan mata kemenangan buat negara selepas menyingkirkan debaran hebat dalam aksi penentuan.

"Ketika melakukan servis di kedudukan 16-19, kami mengambil sikap tenang.

"Kami juga membuat persiapan dengan baik dengan meneruskan momentum dan akhirnya ia membuahkan hasil," jelas Mei Kuan.

Malaysia perlu menunggu keputusan di antara India melawan China, esok, dan jika India kalah, Malaysia akan mara ke suku akhir.