Ketiadaan pemain beregu lelaki negara, Aaron Chia, dalam percaturan taktikal pasukan negara menjadi faktor kegagalan skuad negara untuk mengatasi Jepun dalam aksi suku akhir Piala Sudirman, hari ini.

Aaron antara pemain konsisten dalam skuad Malaysia kali ini, bergandingan dengan gandingan asalnya, Soh Wooi Yik, dalam perlawanan pembukaan menentang China dan kemudian ditukar bersama Teo Ee Yi ketika menewaskan pasangan India.

Bagaimanapun, Aaron tidak diturunkan dalam aksi suku akhir hari ini, sebaliknya barisan kejurulatihan Malaysia mempertaruhkan Ee Yi digandingkan dengan Ong Yew Sin untuk berdepan Keigo Sonoda-Takehsi Kamura, memandangkan mereka pernah mencatatkan dua kemenangan ke atas wakil Jepun itu.

Percaturan itu seakan-akan memberikan hasil positif apabila Ee Yi dan Yew Sin mengawal permainan set pertama untuk menang 21-13 dan hampir menghadiahkan mata pertama Malaysia, namun dipaksa beraksi set penentuan setelah tewas 24-26 dalam set kedua.

"Saya sangat gembira dengan peluang beraksi dalam perlawanan ini. Tetapi gagal meraih mata buat Malaysia sangat mengecewakan," kata Yew Sin.

Kedua-dua mereka beraksi selama 95 minit, menyamai satu perlawanan bolasepak, malah drama menyelubungi pada penghujung set ketiga apabila Ee Yi terbaring setelah dagunya terhentak dengan kaki Yew Sin ketika cuba membalas pukulan lawan.

Dengan keadaan dagunya berbalut, Ee Yi bangkit untuk meneruskan permainan sambil dia menolak dakwaan kecederaan yang dialami menjadi punca kekalahan kepada wakil Jepun itu.

"Selepas nampak darah yang mengalir, saya agak gementar tapi pegawai perubatan memberikan lampu hijau untuk meneruskan permainan," kata Yew Sin.

"Saya berasakan kami telah mempamerkan aksi yang terbaik dalam perlawanan ini, cuma kesilapan dalam dua mata terakhir menyaksikan Jepun berjaya mengatasi kami," kata Ee Yi.

Malaysia tewas 3-0 kepada Jepun, sekali gus gagal meneruskan saingan ke peringkat separuh akhir.