MALAYSIA 0 JEPUN 3

Malaysia terkandas dalam suku akhir Piala Sudirman 2019 selepas tumpas mudah 0-3 kepada Jepun dalam kempen di Nanning, China, sebentar tadi.

Malaysia, yang membariskan rata-rata barisan kurang berpengalaman, berdepan pilihan kedua, Jepun, yang turut memburu gelaran sulung mereka.

Skuad negara memulakan aksi dengan garang yang menyaksikan beregu lelaki, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, menjinakkan beregu nombor dua dunia, Takeshi Kamura-Keigo Sonoda, 21-13 dalam set pertama.

Wakil negara itu hampir mengulangi kemenangan dalam Sukan Asia 2018 ke atas lawan yang sama tetapi harapan itu tidak kesampaian di sebalik mereka mempamerkan semangat juang tinggi untuk tunduk 24-26, 21-23 selepas bertarung 95 minit.

Sementara itu, hajat Soniia Cheah yang mengintai untuk membuat kejutan turut tidak kesampaian biarpun pada awalnya mendahului permainan 9-5 sebelum tunduk straight set 16-21, 13-21 kepada Nozomi Okuhara.

Kemudiannya, giliran Lee Zii Jia berpeluang untuk menyelamatkan kempen Malaysia, namun Kento Momota langsung tidak menawarkan sebarang ruang buat lawannya itu sebelum memuktamadkan kemenangan Jepun dalam tempoh 53 minit menerusi kemenangan 21-18, 21-16.