India mempunyai kelebihan apabila berpeluang membaca taktikal perlawanan China ketika menentang Malaysia, semalam, berikutan kempen Kumpulan 1D, Piala Sudirman 2019 melibatkan mereka hanya akan bermula dengan menentang skuad negara esok .

Biarpun hanya dibarisi 13 pemain berbanding lawan yang rata-rata membawa seramai 16 hingga 20 pemain, India tidak gentar kerana kekuatan mereka terletak kepada acara perseorangan lelaki yang diterajui pemain nombor sembilan dunia, K. Srikanth.

Sementara itu, Pusarla Sindhu dan Saina Nehwal pula di tangga kelima dan sembilan dalam acara wanita.

Lebih-lebih lagi, India melihat skuad Malaysia kini bergelut tanpa kehadiran jaguh perseorangan, Datuk Lee Chong Wei.

"Kami berpeluang untuk menonton perlawanan membabitkan China dan Malaysia yang diadakan lebih awal.

"Dalam masa yang sama, skuad ini sudah lama dibentuk, jadi kami tahu kemampuan masing-masing.

"Biarpun Malaysia turun tanpa Chong Wei, Lee Zii Jia masih merupakan pemain yang bagus selain memiliki kekuatan dalam bahagian beregu," kata Srikanth.

India pernah mengejutkan Malaysia dalam Sukan Komanwel Gold Coast 2018 dalam penentuan pingat emas acara berpasukan.

Lantas, mereka mengibaratkan pertemuan dengan Malaysia sebagai ulangan aksi final dengan kemenangan akan mengesahkan slot buat India yang berhasrat untuk mara ke suku akhir buat kali kedua berturut-turut selepas 2017.

"Kami bekerja keras dan dengan itu, saya berharap kami akan mencapai keputusan yang memberangsangkan," ujar pemain beregu wanita, Ashwini Ponnappa.