Kem India terpaksa menelan keperitan selepas percaturan taktikal mereka memakan diri gara-gara tidak membariskan perseorangan lelaki, K. Srikanth, dan kini meniti laluan yang lebih sukar dalam usaha mereka untuk meloloskan diri ke suku akhir Piala Sudirman 2019 di Nanning, China.

Tatkala perseorangan lelaki utama mereka, Srikanth, dijangka akan turun menentang Lee Zii Jia dan menjadi penyumbang mata buat kem India dalam aksi Kumpulan 1D itu hari ini, perkara sebaliknya berlaku apabila pemain nombor sembilan dunia itu direhatkan manakala Sameer Verma dipersiapkan.

Sameer, yang secara peribadi berasakan taktiknya tidak menjadi dan terlalu memandang rendah terhadap kemampuan Zii Jia sehingga dikejutkan dengan kekalahan straight set 21-13, 21-15, menganggap laluan India pasti akan lebih mudah sekiranya Srikanth yang beraksi.

"Ia sebahagian daripada strategi kami.

"Dia mahu berehat hari ini sebagai percaturan untuk aksi berdepan China esok," kata Sameer.

Terdahulu, mata untuk skuad India disumbangkan menerusi gandingan beregu campuran, Satwiksairaj Rankireddy-Ashwini Ponnapa, yang menewaskan Goh Soon Huat-Shevon Lai sementara PV Sindhu menumbangkan Goh Jin Wei 21-12, 21-8.

India tiada cara lain apabila perlu mencipta kemenangan ketika menentang tuan rumah, China esok seandainya berhasrat untuk mara ke suku akhir.

"Alangkah baiknya kalau boleh mencipta keajaiban (menentang China).

"Kami perlu berehat dan bersedia untuk aksi esok," ujar Ashwini.