Piala Sudirman: China terbukti masih handal 

Oleh Staff Writer 26 Mei 2019 12745
Piala Sudirman: China terbukti masih handal 

CHINA 3 JEPUN 0 

China terus mengekalkan reputasi selaku negara paling berjaya dalam Kejohanan Piala Sudirman dengan kejayaan ke-11 di Nanning, China, sebentar tadi selain tidak pernah tewas dalam aksi final di laman sendiri.


Impian Jepun untuk menjulang Piala Sudirman buat julung kalinya musnah apabila tewas kepada penyandang juara, China, 0-3. 

Ulangan final 2015 itu menyaksikan Jepun turun dengan misi untuk membalas dendam terlepas kejuaraan empat tahun lalu.

China bermula dengan langkah kanan yang menyaksikan beregu lelakinya, Li Jun Hui-Liu Yu Chen, mudah menundukkan seteru mereka, Hiroyuki Endo-Yuta Watanabe, 21-18, 21-10 dalam aksi yang berlangsung 54 minit.

Persaingan perseorangan wanita lebih seimbang dengan wakil China, Chen Yu Fei, ditentang sengit bekas perseorangan nombor satu dunia, Akane Yamaguchi, untuk wakil Jepun itu mengungguli set pertama 21-17.

Dalam set kedua, Yu Fei bangkit untuk mengatasi Yamaguchi 21-16 sebelum jaguh China itu tenang menyempurnakan mata-mata terakhir untuk memastikan satu lagi mata berharga menjadi milik China.

Saingan perseorangan lelaki juga menyajikan pertarungan menarik di antara dua pemain utama dunia.

Kento Momota yang di bawah tekanan untuk menghidupkan perjuangan Jepun memastikan kemenangan 21-15 dalam set pertama.

Tetapi dalam set kedua, Momota bagaikan hilang hala tuju selain sokongan daripada penyokong tuan rumah menyuntik semangat Shi Yuqi untuk membenam Momota 21-5. 

Yuqi yang terlepas gelaran juara dunia kepada Momota tahun lalu, menampilkan persembahan terbaiknya untuk meraih kemenangan 21-11 dalam set penentuan untuk China mengekalkan kejuaraan.

Kredit: Badminton Photo

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen