Skuad Malaysia menafikan mereka bergantung kepada nasib semata-mata ketika melakar kemenangan 3-2 ke atas India dalam aksi kedua peringkat Kumpulan 1D, Piala Sudirman, sebaliknya taktikal menjadi kunci kejayaan dengan beregu wanita, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean, menjadi wira skuad negara.

Mei Kuan-Meng Yean berdepan tekanan memuncak sebelum turun ke gelanggang Dewan Pusat Sukan Guang Xi, Nanning, China, apabila kedudukan ketika itu terikat 2-2 dan kemenangan hari ini akan memberi kelebihan buat pasukan Malaysia untuk mencerahkan laluan ke suku akhir.

Di atas kertas, Mei Kuan-Meng Yean tidak seharusnya menghadapi masalah berikutan kedudukan ranking mereka yang jauh lebih baik berbanding lawan.

Mei Kuan-Meng Yean menduduki tangga ke-13 dunia sementara Ashwini Ponnapa-N. Sikki Reddy pula di kedudukan ke-25 dunia.

Biarpun set pertama menjadi milik wakil Malaysia, namun mereka nyaris diheret beraksi hingga ke set penentuan, apatah lagi ketika itu Mei Kuan-Meng Yean ketinggalan 16-19 sebelum mereka mencipta kebangkitan untuk menyelamatkan maruah Malaysia, sekali gus menyalakan lagi peluang untuk skuad negara ke suku akhir.

"Ini bukan soal menjadi penyelamat (skuad negara) tetapi saya bangga dengan pasukan ini kerana rakan sepasukan telah berikan yang terbaik.

"Bahkan beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai, hanya kalah tipis kepada lawan mereka.

"Kami bermain dengan baik sambil dibantu sedikit nasib," ujar Mei Kuan yang mula bergandingan semula dengan Meng Yean sejak 2016.

Malaysia kini boleh menarik nafas lega apabila sudah pun meletakkan sebelah kaki dalam suku akhir dan dalam masa yang sama, mengharapkan tuan rumah, China, menundukkan India 5-0 apabila kedua-dua pasukan berentap, esok.

Sekiranya layak, lawan yang bakal Malaysia hadapi di peringkat suku akhir akan diketahui menerusi undian yang diadakan sejurus tamat kesemua perlawanan peringkat kumpulan.

"Kalau kami boleh beraksi baik secara keseluruhan, tiada halangan untuk kami melangkah ke separuh akhir.

"Kami hanya mahu berikan aksi terbaik tanpa mengambil pusing soal peluang dalam suku akhir mahupun separuh akhir," ujar Meng Yean.