Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mempertahankan keputusan untuk tidak menyenaraikan pemain profesional dalam skuad Piala Sudirman biarpun terkandas di peringkat suku akhir kepada Jepun semalam.

BAM hanya membawa 16 pemain ke Nanning, China tanpa menyenaraikan empat tonggak yang terdiri daripada beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, dan beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying.

Ia ternyata berhasil untuk mara ke suku akhir bagi menyamai pencapaian edisi dua tahun lalu di Gold Coast, Australia walaupun tanpa kehadiran jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei.

"Dalam sukan, ia turut melibatkan masa depan.

"Kami sedar jika kami terus meminggirkan pemain remaja daripada tugasan utama, mereka tidak akan memperoleh pengalaman seperti yang berlaku di sini (Nanning)," kata Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann.

Choong Hann juga menyifatkan ia sebagai pelaburan jangka panjang agar pemain dapat mengutip pengalaman sebelum menghadapi Piala Thomas dan Uber di Denmark, tahun depan.

"Tanpa pengalaman seperti ini, mereka tidak akan berkembang untuk menjadi lebih kuat.

"Kami mahu melaksanakannya kerana kami tahu kelompok pemain ini tidak akan mengecewakan kami," tambahnya.