Persatuan Badminton Malaysia (BAM) masih perlu menilai keperluan untuk memanggil pemain bukan di bawah naungan badan induk itu untuk membarisi skuad Piala Sudirman yang dijadualkan berlangsung di Nanning, China, Mei ini.

Masih belum ada ketetapan siapa pemain negara yang akan disenaraikan ke Piala Sudirman 2019.

Bagaimanapun, jika Malaysia berhasrat untuk mencabar, keperluan untuk menggunakan pemain profesional dilihat penting di sebalik peningkatan beberapa tonggak muda.

Jika Datuk Lee Chong Wei tidak beraksi, jurulatihnya, Datuk Misbun Sidek, sedia memanggil Liew Daren sementara Goh V Shem dan Tan Wee Kiong serta Chan Peng Soon-Goh Liu Ying mampu menjadi tonggak skuad negara.

Namun, BAM masih perlu menilai sama ada mahu memberi pendedahan kepada pemain muda atau sebaliknya.

"Kami mungkin membariskan skuad terbaik dan akan mengumumkannya setelah disempurnakan. Goh V Shem-Tan Wee Kiong, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dalam perancangan kami untuk memperkuat skuad negara," kata presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria.

Dalam masa sama, BAM berpuas hati dengan barisan muda negara yang beraksi dalam Piala Tong Yun Kai biarpun tewas kepada Jepun di peringkat suku akhir.

Ia menyamai pencapaian Malaysia dua tahun lalu di Vietnam apabila tewas kepada China di peringkat sama.

"Buat masa ini, saya yakin dengan kemampuan barisan muda yang sedang meningkat naik untuk melakar keputusan di pentas antarabangsa dan kami harus memberikan masa untuk mereka mencapai mutu permainan yang berkualiti," tambah Norza.