MALAYSIA 2 INDONESIA 3

Permulaan serba tidak menjadi -- itu yang berlaku ke atas skuad Piala Uber negara apabila gagal mengikut jejak pasukan Piala Thomas yang meraih kemenangan dalam aksi pembukaan di Impact Arena, Bangkok, hari ini.


Soniia Cheah memberikan mata pertama kepada skuad wanita negara dengan menebus kekalahan kepada Fitriani Dede Abdul Rochman dengan kemenangan tiga set 10-21, 21-17, 21-14 dalam pertarungan 60 minit.

"Pada set pertama, Fitriani bermain agak baik tanpa melakukan banyak kesalahan, tambahan pula saya masih tercari-cari rentak sebenar permainan sehingga membenarkan lawan jauh mendahului sebelum menang.

"Dalam set kedua pula, saya berjuang untuk bangkit dan akhirnya mengatasinya," kata Soniia Cheah.

Turun dalam pemburuan mata kedua Malaysia ialah pasangan beregu negara,Goh Yap Chin
-Lee Meng Yean, yang bertemu pasangan keenam dunia, Greysa Poli dan Apriyani Rahayu.

Aksi set pertama menyaksikan pasangan negara bermula perlahan dengan serangan didominasi Indonesia untuk menang set pertama 21-13.

Walaupun mempamerkan peningkatan dalam set kedua, pasangan Malaysia gagal menghasilkan sesuatu yang positif dan memberikan laluan buat Indonesia menang, sekali gus menyamakan kedudukan 1-1.

"Ini kali pertama saya digandingkan dengan Goh Yap Chin, jadi kami bergelut kerana masih belum dapat membentuk komunikasi selain corak permainan masing-masing," ujar Meng Yean.

Goh Jin Wei, yang berkedudukan ranking ke-31 dunia turun selaku perseorangan kedua, dilihat sebagai harapan negara untuk meraih mata ketika berdepan Gregoria Mariska.

Jin Wei mendahului set pertama 14-7 tetapi kesilapan demi kesilapan membenarkan Mariska mengejar perlawanan, seterusnya meraih kemenangan 22-20.

Momentum set pertama diteruskan wakil Indonesia itu dengan terus memberikan tekanan kepada Jin Wei sebelum melakar kemenangan 21-16 untuk mendahului saingan 2-1.

Gandingan beregu wanita kedua, Vivian Hoo-Chow Mei Kuan, turut tidak berhasil.

Menghadapi saingan daripada Della Destiara-Rizki Amelia, Vivian dan Mei Kuan berusaha dengan baik tetapi kesilapan menuju mata akhir memberikan kemenangan kepada lawan 24-22.

Vivian dan Mei Kuan bangkit meraih kemenangan set kedua 22-20 tetapi gagal mengekalkan momentum dalam set penentuan dengan tewas 21-12 dan memberikan mata kemenangan kepada Indonesia 3-1.

S. Kisona turut berdepan Ruselli Hartawan sebagai pelengkap jadual meraih satu mata buat Malaysia selepas merakamkan kemenangan 21-23, 23-21, 21-13.