Ketua jurulatih badminton perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek, menyifatkan hasrat Persekutuan Badminton Dunia (BWF) untuk mengubah format servis akan membunuh kelangsungan aksi sedia ada.

BWF sudah menguji sistem baru itu bagi mempercepatkan tempo permainan.

Kini, badan induk itu sedang menguji kaedah servis yang membangkitkan lebih banyak kritikan berbanding mendapat maklum balas positif di sebalik penjenamaan semula saingan di bawah kalendar BWF bagi menarik perhatian penaja.

"Semuanya bergantung kepada pengadil servis.

"Pada awalnya, badminton adalah permainan yang menyeronokkan. Format 15 mata adalah tradisi tetapi lama kelamaan apabila ia kerap berubah, keseronokannya sudah hilang.

"Tetapi, ia baik untuk penaja dan semua langkah ini adalah bagus.

"Begitupun, kalau terlampau banyak perubahan demi perubahan, permainan itu sendiri akan menjadi kurang seronok," kata Misbun.

Segala perubahan yang ingin dilaksanakan BWF akan dibincangkan pada Mei nanti.

Sehingga ada kepastian, Misbun menegaskan akan tetap mempersiapkan anak buahnya agar menyesuaikan diri dengan format servis baru itu.

Ketika ini, perseorangan lelaki dalam skuad negara selain Datuk Lee Chong Wei, mungkin tidak berpeluang untuk menguji format baru itu di pentas kompetitif.

"Pemain tinggi lampai akan menghadapi sedikit kesukaran. Lee Zii Jia, misalnya, pasti akan bermasalah kerana fikirannya terganggu.

"Berbanding memikirkan soal lawan, pemain sebaliknya sibuk memikirkan tentang servis mereka.

"Ini akan menyebabkan gangguan emosi dan pemikiran pemain.

"Kalau BWF memutuskan untuk meneruskan juga (format servis), kita perlu menerimanya," tambahnya.