Mungkinkah peraturan baru Persekutuan Badminton Dunia (BWF) memberi impak negatif sehingga ramai pemain utama, termasuk Datuk Lee Chong Wei, tersingkir daripada Kejohanan Badminton Masters Malaysia 2018?

Ia berkemungkinan berkait rapat dengan peraturan baru yang ditetapkan BWF berikutan pemain yang berada dalam kelompok 15 terbaik dunia diwajibkan menyertai 12 kejohanan setahun.

Chong Wei menyertai kelompok bintang dunia yang lain seperti Lin Dan, Chen Long dan Son Wan-ho tersingkir awal dalam Masters Malaysia.

Aksi semalam menyaksikan Chong Wei tewas kepada pemain Jepun, Kenta Nishimoto 19-21, 21-18, 21-19.

Bukan mahu memberikan alasan, namun Chong Wei menegaskan dia mahu memberi tumpuan kepada lima kejohanan utama sahaja tahun ini, iaitu Kejohanan Seluruh England, Sukan Komanwel, Piala Thomas, Sukan Asia dan Kejohanan Dunia.

"Kami akan bincang dengan BAM (Persatuan Badminton Malaysia). Kalau kena denda, bayar sahajalah.

"Saya bukan berumur 25 tahun, tahun ini saya akan berusia 36 tahun. Tiada masalah, saya perlu buat perancangan dengan betul," kata jaguh perseorangan Malaysia itu.

Turut senada, seterunya dari China, Lin Dan, yang berpendapat peraturan baru yang ditetapkan badan induk dunia itu membebankan pemain jika terpaksa mengharungi jadual yang padat.

Ia berkemungkinan bakal mengganggu kecergasan pemain, sekali gus tidak mampu untuk mengekalkan prestasi terbaik sepanjang masa.

"Ya, kerana jika sering menyertai kejohanan, mungkin sukar untuk mengekalkan prestasi yang tinggi setiap masa.

"Ia akan beri kesan terhadap fizikal serta mental pemain," ujar Lin Dan.