Peluang dua pemain profesional negara, Zulfadli Zulkiffli dan Tan Chun Seang, untuk membawa kes mengatur perlawanan mereka ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) tidak kesampaian selepas rayuan mereka ditolak.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), rayuan untuk mencabar keputusan panel pendengaran, di mana mereka digantung daripada menyertai sebarang pertandingan, masing-masing selama 20 dan 15 tahun kerana melanggar Kod Tatatertib BWF membabitkan aktiviti mengatur perlawanan, pertaruhan dan menentukan keputusan perlawanan pada 27 April 2018, ditolak.

Ia berikutan pendirian badan itu yang berpuas hati dengan keputusan yang dikeluarkan CAS selepas kedua-dua pemain negara tersebut didapati bersalah oleh tiga panel bebas, Mei lalu.

"BWF berpuas hati bahawa CAS membuat kesimpulan sama dengan Panel Pendengaran Etika BWF berhubung keputusan yang dibuat,” kata kenyataan itu.

Keputusan itu turut menyaksikan Zulfadli perlu membayar denda berjumlah US$25,000 (RM102,596) manakala Chun Seang didenda US$15,000 (RM61,558).

Sepanjang tempoh itu, mereka dilarang menyertai sebarang aktiviti membabitkan sukan badminton, termasuk bahagian pengurusan, kejurulatihan, pengadilan mahupun pembangunan.

Menurut laporan penuh tiga ahli bebas yang dilantik BWF untuk mengadili sesi pendengaran di Singapura, Februari tahun lalu, kedua-duanya terbabit mengatur perlawanan dalam enam kejohanan, iaitu Grand Prix Emas Terbuka London 2013, GP Terbuka Belanda 2013, GP Emas Terbuka Korea, GP Terbuka Macau 2014, GP Terbuka Amerika Syarikat 2014 dan GP Emas Terbuka Brazil 2016.

Penggantungan bermula dari 12 Januari tahun ini, iaitu tarikh kedua-dua pemain terbabit dikenakan penggantungan sementara oleh BWF.