Kebangkitan semula beregu campuran, Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing, turut diraikan pasangan profesional, Chan Peng Soon dan gandingannya, Goh Liu Ying, meskipun menjadi tambahan persaingan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Peng Soon dan Liu Ying meninggalkan kem kebangsaan ketika Kian Meng dan Pei Jing dilanda krisis prestasi.

Sebagai bekas senior skuad kebangsaan, Peng Soon memainkan peranan besar dalam membantu rakan lebih muda.

Atas dasar itu, Peng Soon berasakan satu keterujaan peribadi menyaksikan kebangkitan semula Kian Meng dan Pei Jing di pentas antarabangsa.

Selepas siri penyingkiran pusingan pertama, Kian Meng dan Pei Jing merekodkan penampilan separuh akhir Terbuka Malaysia dan final Terbuka Singapura.

"Saya benar-benar gembira di atas peningkatan semula persembahan Kian Meng-Pei Jing. Mereka merupakan bekas rakan sepasukan saya, jadi saya sangat kagum dengan persembahan semasa mereka," kata Peng Soon.