Pemain beregu campuran negara, Chan Peng Soon, meletakkan sasaran awal untuk melangkah sekurang-kurangnya ke peringkat suku akhir menjelang Kejohanan Seluruh England, pertengahan bulan depan.

2018 menyaksikan kembalinya Peng Soon bersama gandingannya, Goh Liu Ying, yang berehat panjang akibat kecederaan lutut.

Mereka muncul naib juara dalam saingan Seluruh England tahun lalu selepas kecundang kepada gandingan China, Lu Kai-Huang Yaqiong.

Bagi musim 2018, mereka memulakannya dengan Kejuaraan Masters Thailand selain mara ke suku akhir Masters Malaysia.

Berbekalkan keyakinan itu, Peng Soon yakin pada kemampuan mereka untuk terus konsisten dalam Seluruh England nanti.

"Kalau boleh pergi jauh lebih baik tetapi sekarang saya menyasarkan suku akhir terlebih dahulu," katanya.

Selain Peng Soon-Liu Ying, cabaran negara dalam bahagian itu turut dibawa pasangan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing serta Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai.

"Jika layak ke suku akhir, kemungkinan saya akan bertemu rakan senegara, Kian Meng dan Pei Jing," katanya.

Dalam masa sama, Peng Soon mahu menjadikan Terbuka Jerman, seminggu sebelum Seluruh England sebagai ruang untuk memperbaiki kesilapan di samping meningkatkan tempo permainan.

"Sebelum Seluruh England, kami akan mempersiapkan diri di Jerman terlebih dahulu, kemudian baru fokus kepada Seluruh England."