Selepas setahun, pasangan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying membuktikan mereka masih mempunyai hayat dalam kalangan elit apabila kembali ke dalam kelompok 10 terbaik dunia.

Situasi itu merupakan bayangan terbaik untuk mereka menjadi pilihan utama beregu campuran Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ke Kejohanan Dunia 2018.

Kali terakhir mereka berada dalam senarai itu adalah pada Jun 2017 sebelum Liu Ying terpaksa berehat menjalani pemulihan siri kecederaan bahu dan lutut.

Mereka kembali bergandingan pada awal tahun ini dan melalui pelbagai cerita turun naik.

Kemas kini ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menyaksikan mereka berada di tangga kelapan dunia ketika ini.

"Ini satu kejutan dan membuktikan kemampuan kami untuk terus bersaing. Berita ini melonjakkan lagi keyakinan saya.

"Sememangnya kami ada meletakkan sasaran untuk mencapai ranking ini, apatah lagi mendapat sokongan semua pihak seperti BAM," kata Peng Soon.

Aksi terakhir mereka adalah dalam Terbuka Indonesia minggu lalu apabila berupaya menyingkirkan beregu nombor satu dunia dari China dalam separuh akhir, namun dipaksa akur dengan seteru tradisi, Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir, dalam pertembungan final.

"Kami beraksi baik walaupun tewas tetapi mereka bukanlah tidak boleh dikalahkan.

"Ia menyuntik keyakinan kami untuk mengharungi Kejohanan Dunia.

"Kami mahu mara ke separuh akhir dan sekurang-kurangnya dapat membawa pulang medal," katanya.