Beregu campuran negara, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying, menampilkan persembahan memukau untuk meraih gelaran kedua musim ini apabila menundukkan pasangan Jerman dengan straight set dalam perlawanan akhir Terbuka Amerika Syarikat, pagi tadi.

Persiapan awal Peng Soon-Liu Ying untuk mencabar kejuaraan di Amerika Syarikat ternyata berbaloi.

Selepas berjaya membalas dendam ke atas pasangan Korea Selatan, Seo Seung-jae-Chae Yoo-jung, yang menjadi penyebab mereka terlepas kejuaraan di Australia, pasangan negara itu tidak menoleh ke belakang lagi dan mempamer aksi bertenaga berdepan Marvin Emil Seidel-Linda Efler yang menjadi pilihan untuk memenangi kejohanan tersebut.

Kedua-dua pasangan itu tidak pernah bertemu sebelum ini dan ini menjadikan permainan lebih menarik.

Selepas bertarung sengit, Peng Soon-Liu Ying akhirnya berjaya menoktahkan kemenangan 21-19, 21-15 dalam masa 38 minit.

Ia sekali gus menambah koleksi kejuaraan beregu di ranking ke-31 dunia itu selepas memperoleh gelaran sulung dalam Terbuka Thailand sebaik digandingkan semula pada Disember lalu

Sementara itu, acara perseorangan lelaki dan wanita menjadi milik Korea Selatan dan China menerusi Lee Dong-keun dan Li Xuerui.

Dominasi China di Amerika Syarikat dimutlakkan dengan kemenangan beregu wanita dan lelaki yang menewaskan wakil Korea Selatan.